Monday, October 19, 2009


ISU- ISU PENGHAYATAN ISLAM.

MENGHAYATI ISLAM

MENJADI tokoh, baik apa saja tokohnya, adalah sesuatu yang berlaku di luar dugaan saya. Bagaimanapun ditakdirkan Allah s.w.t saya telah dipilih untuk menerima kurniaan tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan bagi tahun ini. Oleh itu satu agenda penting yang saya rasa wajar dibicarakan ialah tentang struktur dan sistem pendidikan Islam di negara kita untuk menghadapi cabaran-cabaran baru globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang ini dan pada masa yang akan datang. Secara ringkas dan mudah difahami dalam ucapan penerimaan anugerah tersebut, saya telah menyeru generasi baru dan para pelajar agar mereka bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan yang terbuka luas di hadapan mereka pada masa kini untuk belajar dengan rajin dan tekun sehingga ke peringkat tinggi.

Peluang yang diberikan kepada mereka sekelian semasa belajar di sekolah rendah dan menengah dengan keselesaan ruang sekolah, padang permainan, buku teks dan guru-guru yang terlatih serta kemudahan biasiswa, bantuan kewangan dan sebagainya, sesungguhnya merupakan satu kurniaan yang amat baik bagi mereka sekalian, yang jika dibandingkan dengan zaman dan orang-orang yang sebaya dengan saya, maka kami tidak pernah merasakannya pada zaman dulu.

Peluang belajar hingga ke universiti seperti sekarang juga adalah amat terhad bagi generasi saya. Kami tidak pernah merasa hidup dalam asrama dengan segala kelengkapannya. Malah kami belajar pada masa dulu dengan hanya menggunakan wang ibu bapa sahaja, sebab itulah tidak banyak orang yang dapat belajar hingga ke sekolah menengah, apa lagi memasuki universiti.

Anak-anak dalam menghadapi zaman kemajuan dan global ini seharusnya mempunyai cita-cita untuk memasuki universiti dan seterusnya mendapat ijazah tinggi dalam berbagai-bagai bidang.
Saya berasa bangga melihat anak-anak muda kita yang bertungkus lumus bekerja di kilang Proton untuk mengeluarkan kenderaan yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Begitu juga yang bekerja di bidang petroleum dan gas di Petronas. Mereka bukan hanya bekerja di dalam negara, malah sehingga ke Sudan, Algeria, Nigeria, Vietnam, Laos dan lain-lain, di mana Petronas terlibat dengan industri petroleum.

Demikian juga kita berasa bangga melihat anak-anak muda kita berkhidmat di hospital, terbang di udara dari benua ke benua, belayar di lautan membawa bendera negara kita ke serata dunia. Anak-anak kita juga berurusan dengan cekap dalam bidang perundangan dan kehakiman, perniagaan dan penanaman modal, aktiviti pertanian dan sebagainya. Inilah sebenarnya tahap dan kualiti anak bangsa yang kita harap-harapkan akan menjadi lebih maju pada masa yang akan datang. Semuanya ini tidak akan berhasil tanpa usaha dan susah payah kita sendiri.

Saya sebagai orang kampung dan membesar di kampung, saya biasa melalui kehidupan yang susah. Sebab itulah saya merasa amat bersyukur dalam kesusahan kehidupan itupun cita-cita saya dan adik-beradik saya dimakbulkan Allah s.w.t dan direstui oleh ibu bapa kami. Maka boleh dikatakan pada masa itu hanya kami sahaja yang sanggup keluar belajar di luar, dan kemudian barulah diikuti oleh anak-anak kampung yang lain yang mulai keluar belajar ke sekolah menengah, kerana di kampung kami pada waktu itu tidak ada sekolah menengah.
Satu contoh yang amat bernilai yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w ketika baginda berada di Madinah ialah penguasaan ilmu pengetahuan yang dimulai di masjid yang baginda dirikan di Qabak. Baginda menguatkan hati naluri dan kerohanian para sahabatnya ketika itu dengan iman dan takwa, namun baginda tidak melupakan ilmu keduniaan yang diserahkan kepada para sahabatnya yang mampu dan yang ingin berjihad sendiri tentang perkara keduniaan mereka seperti ilmu mencantumkan pohon tamar yang menjadi perbincangan mereka.

Saya berpendapat kalau orang Islam lebih mengutamakan agenda ilmu pengetahuan dunia dan akhirat seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin besar kita itu, maka mungkin umat Islam tidak terlalu banyak mengalami krisis seperti yang sedang dihadapi sekarang dari segi pemikiran, sosial, ekonomi dan kefahaman Islam itu sendiri.

Kalau orang Islam mempunyai visi global dan berpandangan jauh, mungkin segala masalah titik bengek dan isu-isu sampingan dapat diselesaikan dengan penuh bijaksana dan penuh hikmah.
Oleh itu sempena dengan sambutan tahun baru Hijrah dan semangat hijrah yang membawa konsep berubah dan bertukar kepada yang lebih baik maka semangat dan konsep itu hendaklah dihayati oleh semua peringkat. Semangat tahun baru juga merupakan semangat untuk kita membaharui azam dan tekad. Jadikanlah azam tahun baru kali ini untuk kita mencipta diri dan masyarakat yang berilmu pengetahuan, di samping berhikmah, beradab sopan, dan di atas segala-galanya kita mahu menjadi insan yang bertakwa kepada Allah s.w.t. Peluang yang ada di hadapan kita ini mungkin hanya datang sekali sahaja dalam hidup kita, maka ia perlu direbut dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Generasi muda haruslah ingat bahawa al-Quran amat memusuhi orang-orang yang tidak mahukan perubahan yang baik dan membina seperti yang diwahyukan oleh Allah s.w.t dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya semata-mata kerana sifat fanatik melulu. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul. Mereka menjawab: Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya. Dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka, walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk.

No comments:

Post a Comment