Monday, October 19, 2009

ISU- ISU AKIDAH.

ELAK SAMBUT VALENTINE’S DAY




Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan
masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an
beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas
dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.
Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya
asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak
mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari
berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk
mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai
atau dikasihi.

Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang
romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan
coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat Yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu). Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.
Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan
Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan
parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa
ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian
mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada
penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih
tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq,
Bangsar.
Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang
ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka
sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan
bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut
bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej
istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam
Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari
Kekasih.

Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud
di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari
sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa
Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud;

kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The
Etemology and History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang
paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu
Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di
Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu
Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14
Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan
kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.
Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari
Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan
14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewidewi
Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu
perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut,
nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas.
Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih
akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine
dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh
Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan
semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam
peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah
mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia.
Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang
akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14
Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol
ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka
14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai
upacara keagamaan.

Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama
seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu
Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di
tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat
untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu
kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan
rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang
tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi
sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil
keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka
Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan
14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.










ISU- ISU UNDANG- UNDANG ISLAM.

MUDAHNYA UNDANG- UNDANG ISLAM DIKELIRUKAN.

Hukuman yang masih gagal dilaksanakan dengan alasan pihak yang bertanggungjawab tiada pengalaman walaupun Kartika sendiri sudah bersedia untuk menghadapinya menunjukkan sikap pemerintah yang tidak bersungguh dalam usaha menegakkan undang-undang Islam.

Ini juga merupakan satu tamparan kepada cerdik pandai Islam di negara kita untuk melihat kembali bagaimana mudahnya undang-undang Islam diperkotak-katikkan,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Nuridah bersama rombongan Dewan Muslimatnya telah berkunjung ke rumah keluarga Kartika di Kampung Jawang, Sungai Siput Khamis lalu. Turut serta beberapa muslimat lain termasuk dari Dewan Muslimat Negeri Perak sendiri.

Hukuman sebat ke atas Kartika ditangguhkan kerana sekarang dalam bulan Ramadhan. Selepas itu didedahkan hukuman itu ditangguhkan kerana tidak ada tukang sebat untuk undang-undang Syariah.

Kemudian apabila prosedur rayuan hendak dibuat, didedahkan pula bahawa negara ini belum ada penal rayuan syariah . Nuridah turut kesal mendengar cerita Kartika mengenai tawaran peguam kepadanya untuk menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.

Menurut Nuridah, Kartika memberitahu bahawa peguam ada menawarkan kepadanya untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dengan syarat Kartika membayar RM2,000 kepada mahkamah dan tidak perlu hadir ke mahkamah apabila dipanggil untuk perbicaraan. ]

Dengan berbuat demikian, kes itu akan ditutup dan Kartika terlepas daripada dibicarakan. Menurutnya, 13 orang lagi yang ditangkap bersamanya ketika melakukan kesalahan yang sama melakukan perkara itu.

Dia bagaimanapun, enggan berbuat demikian sebaliknya bersedia untuk dibicarakan.
Beliau turut memuji sikap Kartika yang berani mengaku salah dan sanggup menerima hukuman di atas kesalahannya hatta dihukum di khalayak ramai sekalipun.

"Saya puji sikap Kartika yang sedia dengan hukuman itu. Setelah berjumpa sendiri dengan dia (Kartika) sebenarnya Kartika bersedia untuk menerima enam sebatan tersebut.

"Pada kartika perkara tersebut tidak perlu ditangguh, dan dia minta hukuman tersebut segera dijalankan," katanya.

Ditanya bagaimana keadaan Kartika ketika dikunjungi, Nuridah berkata, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan itu kelihatan tenang dan bersahaja menerima kunjungan beliau.

"Saya nampak dia tenang sahaja. Tak adalah trauma cuma nampak keletihan sedikit sebab masa kami datang dia baru balik. Tapi dari sudut mental, ustazah tengok dari jawapan-jawapan dia, dia sebenarnya bersedia. Tak nampak macam dia takut untuk melalui hukuman tersebut," ujar Nuridah lagi.

Beliau turut meletakkan harapan agar Kartika dapat menjadikan peristiwa yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada dirinya dan benar-benar insaf serta bertaubat kepada Allah SWT. "Nasihat saya kepada Kartika dan juga kepada mereka yang minum arak, segeralah bertaubat minta ampun kepada Allah kerana peraturan tak boleh minum arak adalah ketentuan Allah. Jadilah hamba yang taat kepada Allah InsyaAllah kita akan bahagia.
ISU- ISU ILMU.

ILMU NEGARA ISLAM DAN SENJATA BUATAN SENDIRI.

1. Walaupun dunia Islam merintis kepada pelbagai strategi dan penggunaan senjata seperti meriam dan letupan pada satu masa dahulu tetapi kemegahan ini akhirnya luntur pada saat-saat akhir kejatuhan Empayar Turki Othmaniah.
2. Hari ini hampir semua negara Islam bergantung kepada import senjata dan ini termasuklah negara kita, sedangkan Singapura yang selalu dijadikan penilaian piawaian untuk Malaysia sudah pun membina industri pertahanannya yang kukuh dan sudah mula mengeluarkan senjata untuk pasaran dunia seperti raifel SAR 21 danSAR 80,sistem meriam bergerak Pegasus, sistem UAV FainTail, meriam FH2000 serta banyak lagi.
3. Berikut merupakan sebahagian daripada pengeluar senjata dunia Russia, Ukraine, Amerika Syarikat (AS), China, Jerman, United Kingdom, Peranchis, India (kereta kebal Arjun dan misil Bramos), Afrika Selatan (sistem meriam G5 dan helikopter Rooivalk), Korea Selatan (kereta kebal K1), Swiss (raifel tempur famili SIG), Poland (PT91), Itali (kapal perang dan pesawat Aermacchi), Israel (kereta kebal Merkava dan pesawat pejuang Kfir), Australia (kapal selam Colins), Kanada (pesawat Caribou), Argentina (pesawat Pucara), Brazil (sistem Astros), Singapura (raifel SAR) serta beberapa buah negara lain. (Nota Penulis : Hanya sebahagian senjata dinamakan sebagai rujukan di sini)
4. Malangnya dari puluhan negara yang mempu mereka bina sistem senjata mereka sendiri termasuk untuk dieksport, hanya Iran, Pakistan dan Turki sahaja yang mewakili negara Islam.
5. Iran mungkin berada di tangga pertama diikuti oleh Pakistan dan Turki, ketiga-tiga negara ini dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk mencipta sistem senjata mereka sendiri yang mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
6. Indonesia dan Arab Saudi boleh dikategorikan dalam liga yang sama dengan negara di atas tetapi negara-negara ini belum mampu mereka bina sistem senjata berteknologi tinggi untuk dipasarkan. Industri pertahanan Indonesia biasanya menfokus kepada kegunaan tempatan dan pembuatan senjata dengan izin negara pengeluar atau pencipta asal (berlesen).
7. Iran mula membangunkan industri pertahanannya pada zaman Shah Iran tetapi terhad kepada pemasangan sistem bersenjata dengan lesen pengeluar asal seperti dari syarikat AS iaitu Northrop, Littion dan Bell.
8. Selepas zaman revolusi, negara seperti AS dan beberapa buah negara Eropah mengenakan sekatan embargo kepada Iran menyebabkan negara itu tidak dapat memaksimumkan peralatan ketenteraannya seperti F-14 Tomcat (Iran merupakan satu-satunya negara didunia selain AS yang mengoperasikan Tomcat) akibat kekurangan alat ganti.
9. Selepas perang Iran-Iraq, negara itu cuba berpaling kepada Russia dan negara-negara pakatan Warsaw (seperti NATO tetapi blok komunis).
10.Tentera Iran yang sudah biasa dengan peralatan termoden dan berkualiti dari Barat dikatakan tidak berpuas hati dengan tahap kecanggihan peralatan serta servis yang ditawarkan oleh negara-negara ini menyebabkan republik Islam itu terpaksa membangunkan industri pertahananya semula.
11.Kali ini untuk mencipta alat ganti bagi membolehkan pesawat pejuang buatan ASnya seperti F14 Tomcat, F-5E Tiger dan F4 Phantom untuk terbang, mereka berjaya dan dunia terkejut dengan kemampuan ini.
ISU- ISU EKONOMI.

EKONOMI DUNIA .

Amerika Syarikat sedang menghadapi kejatuhan ekonominya akibat sistem kapitalis. Apa sebenarnya yang berlaku dan apa kaitannya dengan riba?. Dan adakah jika sistem kewangan dan ekonomi Islam dilaksanakan, kita akan terselamat dari malapetaka seperti ini. Tulisan ini akan cuba mendedahkan isu ini dalam bentuk yang separa ilmiah dengan kumpulan sasaran pembaca orang awam.
Justeru, jika anda seorang cendiakawan ekonomi, kewangan dan perbankan, saya kira tulisan ini mungkin tidak menambahkan sebarang nilai dan pengetahuan baru buat anda. Saya juga menggunakan bahasa-bahasa bukan kewangan bagi memudahkan kefahaman orang awam dalam memahami isu ini secara mudah.

Walaupun isu ini agak kompleks untuk diterangkan dengan mudah kepada pembaca yang tiada basic ilmu kewangan dan perbankan (kerana ia perbincangan berkenaannya banyak menggunakan istilah-istilah khusus kewangan dan perbankan), namun saya akan cuba sekadar kesempatan waktu dan kemampuan yang ada untuk memberi faham. Isunya begini..
Kegawatan bermula dari kes pinjaman dan pensekuritian bon Subprima.

FAHAMI SUBPRIME MORTGAGE TERLEBIH DAHULU
Subprime mortgage atau dalam bahasa Malaysia kita sebut "peluang kedua pinjaman".
Ia adalah pinjaman wang yang diberikan kepada sekumpulan pengguna miskin, manakala sebahagian lainnya tidak menepati kriteria peminjam yang BOLEH diluluskan jika dilihat dari piawaian sesebuah bank. Ia disebut sebagai mempunyai ‘credit rating' yang rendah. Mereka ini biasanya terdiri dari :-

· mereka yang mempunyai pendapatan rendah,

· mempunyai sejarah dan rekod kegagalan bayaran hutang yang tinggi, atau ‘rekod merah'.

· mereka yang beban hutangnya telah melebih kemampuan pendapatannya,

· para spekulator yang tiada mempunyai wang tetapi ingin membeli untuk tujuan pelaburan dan lain-lain lagi.

Walaupun demikian, mereka telah diberikan peluang kedua untuk membuat pinjaman.
Perlu diingat, ia bukannya dibuat atas dasar ingin membantu tetapi berpunca dari sifat tamak pihak kapitalis dalam perolehan untung, mereka juga tidak menghiraukan samada kumpulan miskin dan bermasalah serta terdesak tadi akan semakin tertindas ataui tidak. Apa yang penting buat mereka adalah untuk mengambil peluang meraih untung sebanyak mungkin.
ISU- ISU POLITIK

IRAN BERSEDIA.

Jika kita meninjau akhbar-akhbar mengenai isu Timur Tengah, mahupun di peringkat global. Kita akan dapati terlalu banyak keadaan dibesar-besarkan oleh media tentang isu 2 buah negara gergasi, Amerika dan Iran. Amerika ingin menyerang Iran disebabkan projek nuklear yang cuba dibangunkan oleh negara pimpinan Presiden popular Iran, Mahmud Ahmadi Nejd. Kerana khabar angin mengenai projek nuklear Iran begitu meluas, maka Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerap didesak oleh Amerika untuk mengheret Iran ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Amerika berkali-kali menyifatkan pembangunan nuklear oleh negara Iran itu sebagai haram, ironisnya Israel yang juga memiliki sistem pengkayaan nuklear tidak pula dicop haram oleh Amerika.

Jika tindakan Amerika itu ibarat kerajaan yang berkuasa, Iran pula merupakan ketua pembangkang paling lantang di dunia. Maka, banyaklah persoalan-persoalan timbul berasaskan kesungguhan Bush untuk menyerang negara yang pernah menjadi salah satu wilayah kerajaan Khawarizmiyyah di era Daulah Abbasiyyah itu. Adakah Iran akan mengalami nasib yang sama seperti Iraq? Adakah Amerika berani menyerang Iran? Adakah Amerika mempunyai plan sulit agar Iran ditumbangkan? Atau Bush mendapat wahyu baharu agar Iran diserang untuk misi ketenteraannya? Bagaimanapun, politik Amerika yang begitu hangat dengan isu pemilihan Obama dan Mccain, yang dilihat sebagai tokoh yang bakal menyelesaikan masalah di Timur Tengah selepas ini.

Obama mungkin pilihan dunia kerana beliau berazam mahu membawa pulang tentera Amerika yang beroperasi di Iraq dalam tempoh 16 bulan jika beliau dilantik sebagai presiden. Sebaliknya Mccain dari parti Republikan terus menegaskan bahawa ingin mengekalkan operasi ketenteraan Amerika selama-lamanya di Iraq sehinggalah konflik di Timur tengah itu selesai. Boleh jadi Mccain ingin meneruskan misi Bush yang pernah diiktirafnya sendiri sebagai ‘misi suci’. Dahulu, Bush pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siri-siri serangannya di Iraq dan Afghanistan merupakan ‘misi suci’ yang meletakkannya seolah-olah mewakili ‘kuasa baik’ untuk menentang kuasa jahat.

“Serangan itu adalah misi suci untuk membawa keamanan Asia Barat, keselamatan untuk Israel dan sebuah Negara untuk penduduk Palestine”, kata Bush. [ Israel and The Arabs: Exclusive Peace ]

Setelah Iraq dan Afghanistan, Amerika mula menumpukan ekspedisi jajahannya ke Iran. Banyak faktor mengapa Amerika lebih menumpukan Iran berbanding dengan Korea Utara walaupun General Pyongyang jelas mengakui bahawa Korea bukan sahaja berusaha mengayakan uranium bahkan membangunkan senjata nuklear. Mengapa Iran? Ini bukanlah kali pertama Amerika melakukan serangan dengan tindakan-tindakan provokasi terhadap Iran. Sejak tahun 1998 lagi, Iran telah diancam dengan sekatan ekonomi atas alasan bahawa Negara tersebut cuba membangunkan program nuklear secara haram menurut Bill Clinton.

Rahsia-rahsia Amerika kemudiannya semakin menampakkan kudisnya, kita maklumi di Asia Barat mempunyai lebih banyak kepentingan Amerika berbanding dengan Asia Timur kerana kedudukan sumber minyak yang besar di Teluk Parsi. Inilah matlamat utama, mengapa Amerika mahupun Israel bersungguh-sungguh mahu mendapat keizinan masyarakat dunia agar mereka boleh menyerang Iran. Iran merupakan negara yang mempunyai rizab simpanan minyak dan gas yang terbesar di dunia. Namun, kemungkinan-kemungkinan lain pula akan timbul dalam politik dunia abad ini jika Iran diserang Amerika.
Kemungkinan-kemungkinan ini memaksa segala persoalan di kepala, untuk kita terus sangsi tentang kesungguhan Amerika ke atas Iran yang tentunya merugikan banyak aspek. Kita perhatikan analisis-analisis ini, agar kita mampu berfikir bahawa Amerika sama sekali tidak akan menyerang negara Ahmadi Nejd;

1) Amerika bukanlah terlalu jahil untuk membuka ruang konfrontasi dengan jarak yang terlalu lebar dengan Iran. Amerika tentu akan membersihkan Iraq dari tentera-tenteranya sehingga masalah yang timbul di sana, seolah-olah telah selesai pada anggapan orang ramai dan pemerhati-pemerhati politik dunia. Kerana itu akhbar baru-baru ini melaporkan Amerika melarang Israel untuk menyerang Iran, selagi mana tentera Amerika masih berada di Iraq. Amerika dilihat tidak berkeinginan untuk menyerang Iran disebabkan faktor-faktor kebuntuan ekonomi dan ketidakseimbangan politiknya, sekalipun kem tenteranya di Iraq berupaya menggusarkan Tehran.

Jika dahulu tentera Amerika hanya berada di negara-negara Teluk Parsi khususnya di Kuwait, Qatar dan Arab Saudi. Tetapi kali ini keseluruhan Iraq merupakan ruang bebas bagi tentera Amerika. Ini bermakna, Amerika mempunyai ruang bebas dan terbuka untuk menyerang Iran. Namun, tembelang politik Bush setelah Amerika berada di Iraq cukup merumitkan. Tempoh tentera Amerika di Iraq pula bergantung kepada siapa yang bakal menang pilihan raya Presiden pada Novembar ini. Sama ada presiden yang bakal menerajui politik Iraq itu pro-Israel atau tidak, Amerika telah lama sedar bahawa mereka tidak boleh melihat Iran negara politik yang lemah seperti Iraq untuk ditumbangkan.

2) Jika Amerika menyerang Iran, ia akan merapatkan lagi jurang yang berlaku antara Sunnah dan Syiah. Negara-negara Sunnah tentunya akan menyokong negara Syiah itu, jika mereka diserang Amerika. Kerana dalam peperangan ini Bush akan mewakili Barat, dan secara tidak langsung Ahmadi Nejd mewakili Islam. Perpecahan dua aliran antara Sunni dan Syiah tentunya menguntungkan Israel dan Amerika, sementara perpaduan kedua-dua aliran mazhab Islam ini menjadi impak yang sangat negatif kepada kelangsungan imperialisme Barat di negara-negara Islam.

Siri-siri perpecahan ini dibayangi tragedi di Iraq sebagai satu pertempuran antara Sunnah dan Syiah yang dahsyat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Amerika hanya goyang kaki manakala Sunnah dan Syiah terus bertengkar denga genjatan senjata sesama mereka. Setelah isu pergolakan yang berlaku di Iraq semakin jelas kerana terdapat pengkhianatan ‘orang ketiga’ dan masing-masing tahu kesan buruk yang berlaku terhadap umat Islam (apabila Sunnah dan Syiah di Iraq berkelahi). Ulama-ulama mereka sama ada dari aliran Sunni ataupun Syi’ie mula menegaskan perkara untuk bersatu.
Jika serangan dilakukan tentunya ia bukanlah masa terbaik malah memberikan kesan negatif kepada Amerika. Hal ini bertepatan dengan saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC) pada 11 Oktober 2003 ; “Ubat untuk negara Islam menghadapi tekanan dan kecaman dari Barat adalah penyatuan dalam kalangan umat Islam. Jika kebanyakan umat Islam yang sering bercakaran berjaya disatukan, tentu sekali kuasa Barat tidak mampu berbuat apa-apa”.

3) Amerika pernah melakukan percubaan militer terhadap Iran ini pada tahun 1980 M dengan tujuan melepaskan tawanan tentera Amerika di sana atas tuduhan menjadi perisik kepada Amerika. Bagaimanapun percubaan Amerika tidak berjaya, malah Amerika pernah mengalami kekalahan teruk di tangan Iran di dalam peristiwa yang berlaku di gurun Tabas. Badai dahsyat tiba-tiba menyerang helikopter milik Amerika sehingga menyebabkan ia saling berlanggar dan akhirnya terbakar. Peristiwa pelik itu menyebabkan ramai prajurit Amerika mati, sementara yang lain melarikan diri dan keluar meninggalkan wilayah Iran.

Peristiwa ini pernah diceritakan semula oleh al Marhum Sheikh Ahmed Deedat, pendakwah yang digeruni missonari Kristian dalam perdebatan umum. Sheikh Ahmad Deedat memberitahu peristiwa di Tabas ketika persidangan Kesatuan Sunni dan Syiah .

ISU- ISU PENGHAYATAN ISLAM.

MENGHAYATI ISLAM

MENJADI tokoh, baik apa saja tokohnya, adalah sesuatu yang berlaku di luar dugaan saya. Bagaimanapun ditakdirkan Allah s.w.t saya telah dipilih untuk menerima kurniaan tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan bagi tahun ini. Oleh itu satu agenda penting yang saya rasa wajar dibicarakan ialah tentang struktur dan sistem pendidikan Islam di negara kita untuk menghadapi cabaran-cabaran baru globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang ini dan pada masa yang akan datang. Secara ringkas dan mudah difahami dalam ucapan penerimaan anugerah tersebut, saya telah menyeru generasi baru dan para pelajar agar mereka bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan yang terbuka luas di hadapan mereka pada masa kini untuk belajar dengan rajin dan tekun sehingga ke peringkat tinggi.

Peluang yang diberikan kepada mereka sekelian semasa belajar di sekolah rendah dan menengah dengan keselesaan ruang sekolah, padang permainan, buku teks dan guru-guru yang terlatih serta kemudahan biasiswa, bantuan kewangan dan sebagainya, sesungguhnya merupakan satu kurniaan yang amat baik bagi mereka sekalian, yang jika dibandingkan dengan zaman dan orang-orang yang sebaya dengan saya, maka kami tidak pernah merasakannya pada zaman dulu.

Peluang belajar hingga ke universiti seperti sekarang juga adalah amat terhad bagi generasi saya. Kami tidak pernah merasa hidup dalam asrama dengan segala kelengkapannya. Malah kami belajar pada masa dulu dengan hanya menggunakan wang ibu bapa sahaja, sebab itulah tidak banyak orang yang dapat belajar hingga ke sekolah menengah, apa lagi memasuki universiti.

Anak-anak dalam menghadapi zaman kemajuan dan global ini seharusnya mempunyai cita-cita untuk memasuki universiti dan seterusnya mendapat ijazah tinggi dalam berbagai-bagai bidang.
Saya berasa bangga melihat anak-anak muda kita yang bertungkus lumus bekerja di kilang Proton untuk mengeluarkan kenderaan yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Begitu juga yang bekerja di bidang petroleum dan gas di Petronas. Mereka bukan hanya bekerja di dalam negara, malah sehingga ke Sudan, Algeria, Nigeria, Vietnam, Laos dan lain-lain, di mana Petronas terlibat dengan industri petroleum.

Demikian juga kita berasa bangga melihat anak-anak muda kita berkhidmat di hospital, terbang di udara dari benua ke benua, belayar di lautan membawa bendera negara kita ke serata dunia. Anak-anak kita juga berurusan dengan cekap dalam bidang perundangan dan kehakiman, perniagaan dan penanaman modal, aktiviti pertanian dan sebagainya. Inilah sebenarnya tahap dan kualiti anak bangsa yang kita harap-harapkan akan menjadi lebih maju pada masa yang akan datang. Semuanya ini tidak akan berhasil tanpa usaha dan susah payah kita sendiri.

Saya sebagai orang kampung dan membesar di kampung, saya biasa melalui kehidupan yang susah. Sebab itulah saya merasa amat bersyukur dalam kesusahan kehidupan itupun cita-cita saya dan adik-beradik saya dimakbulkan Allah s.w.t dan direstui oleh ibu bapa kami. Maka boleh dikatakan pada masa itu hanya kami sahaja yang sanggup keluar belajar di luar, dan kemudian barulah diikuti oleh anak-anak kampung yang lain yang mulai keluar belajar ke sekolah menengah, kerana di kampung kami pada waktu itu tidak ada sekolah menengah.
Satu contoh yang amat bernilai yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w ketika baginda berada di Madinah ialah penguasaan ilmu pengetahuan yang dimulai di masjid yang baginda dirikan di Qabak. Baginda menguatkan hati naluri dan kerohanian para sahabatnya ketika itu dengan iman dan takwa, namun baginda tidak melupakan ilmu keduniaan yang diserahkan kepada para sahabatnya yang mampu dan yang ingin berjihad sendiri tentang perkara keduniaan mereka seperti ilmu mencantumkan pohon tamar yang menjadi perbincangan mereka.

Saya berpendapat kalau orang Islam lebih mengutamakan agenda ilmu pengetahuan dunia dan akhirat seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin besar kita itu, maka mungkin umat Islam tidak terlalu banyak mengalami krisis seperti yang sedang dihadapi sekarang dari segi pemikiran, sosial, ekonomi dan kefahaman Islam itu sendiri.

Kalau orang Islam mempunyai visi global dan berpandangan jauh, mungkin segala masalah titik bengek dan isu-isu sampingan dapat diselesaikan dengan penuh bijaksana dan penuh hikmah.
Oleh itu sempena dengan sambutan tahun baru Hijrah dan semangat hijrah yang membawa konsep berubah dan bertukar kepada yang lebih baik maka semangat dan konsep itu hendaklah dihayati oleh semua peringkat. Semangat tahun baru juga merupakan semangat untuk kita membaharui azam dan tekad. Jadikanlah azam tahun baru kali ini untuk kita mencipta diri dan masyarakat yang berilmu pengetahuan, di samping berhikmah, beradab sopan, dan di atas segala-galanya kita mahu menjadi insan yang bertakwa kepada Allah s.w.t. Peluang yang ada di hadapan kita ini mungkin hanya datang sekali sahaja dalam hidup kita, maka ia perlu direbut dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Generasi muda haruslah ingat bahawa al-Quran amat memusuhi orang-orang yang tidak mahukan perubahan yang baik dan membina seperti yang diwahyukan oleh Allah s.w.t dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya semata-mata kerana sifat fanatik melulu. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul. Mereka menjawab: Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya. Dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka, walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk.
ISU – ISU PENUNTUT ISLAM DI IPTA.

ESCAPISM

Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?

Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.

Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.
Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.

Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.

Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.
ALASAN

Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.
“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.
Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.