Monday, October 19, 2009


ISU- ISU PENDIDIKAN

1….MUQADDIMAH

" Dan tidak akan redha orang Yahudi dan Nasrani terhadap kamu sehingga kamu mengikut cara hidup mereka.
"
Sunnah kemasyarakatan telah bermula sejak zaman dahulu lagi dan akan terus berjalan seiringan dengan kehidupan masyarakat sepanjang zaman. Sunnah Allah s.wt bagi kemasyarakatan telah menentukan akan berlakunya pertentangan di antara iman dan kufur, hak dan batil, petunjuk dan kesesatan. Pertentangan ini timbul daripada pegangan yang diyakini oleh manusia dan aliran pemikiran yang menentukan sikap mereka. Daulah Islam adalah sebahagian dari agama Islam. Mustahil pada u’ruf agama Islam dapat ditegakkan tanpa adanya daulah. Berdasarkan perkara inilah musuh-musuh Islam menyeru masyarakat Islam agar menerima idea pemisahan Islam dari lapangan pelaksanaan secara realiti. Mereka mengganti dan menyogokkan masyarakat dengan sistem dan undang-undang barat. Hal ini dikenali dalam sejarah sebagai pemisahan antara agama dan daulah ( kerajaan, pemerintahan ). Perkara ini juga dikenali sebagai pertentangan dan peperangan pemikiran dan aqidah. Peperangan pemikiran dan aqidah lebih dahsyat daripada peperangan ketenteraan kerana ia bukan sahaja menghapuskan jiwa dan melenyapkan nyawa bahkan yang lebih besar lagi dapat meruntuhkan nilai dan akhlak serta menukar kehidupan manusia menuju ke neraka jahanam. Sekularisme adalah aliran pemikiran dan sikap. Dari sinilah bermulanya pemikiran sekular yang dipelopori oleh orang barat untuk menguasai orang Islam yang telah maju jauh ke hadapan. Di zaman era teknologi maklumat ini, bahaya dan mudharatnya kepada Islam terus meningkat. Satu inisiatif baru perlu dilakukan terhadap masyarakat untuk menyelamatkan mereka dari bom sekular ini. Contohnya tahap kesedaran masyarakat tentang bahaya sekular mesti di tingkatkan dengan apa cara sekalipun sama ada pelajaran, penerangan dan sebagainya. Sejarah juga perlu di telusuri dan dikaji untuk meningkatkan pengetahuan dan menambahkan kesedaran tentang keburukannya bahkan bahayanya mengamalkan fahaman sekular.

2…DEFINISI

Sekularisma adalah terdiri dari dua perkataan iaitu "saiculum" bererti zaman sekarang ini . Perkataan ‘saiculum’ juga membawa makna dunia. ‘Saiculum’ adalah lawan daripada perkataan "Enternum" yang bererti abadi yang digunakan untuk menunjukkan alam yang kekal abadi, iaitu alam sesudah dunia ini . Dalam bahasa yang lebih mudah dapat kita katakan bahawa sekularisme bermaksud fahaman yang terbatas setakat kehidupan sekarang sahaja iaitu kehidupan dunia sahaja. Dalam bahasa Arab pula sekularisme diterjemahkan sebagai "Ilmaniyyah". Ilmaniyyah ialah ‘masdar sina’i’ yang dinasabkan kepada "Al-Ilmu". Ditambahkan padanya "Alif" dan "Nun". Ia tidak ada qiyas di dalam bahasa Arab. Asalnya adalah sekadar daripada "Sima’ie" ( pendengaran ) sahaja, kemudian penggunaan ini tersebar di kalangan golongan mutaakhirin. Maksudnya dari sudut bahasa ialah nisbah kepada ilmu. Tetapi hakikat maknanya tiada hubungan dengan ilmu. Ia adalah bermaksud keduniaan ataupun bukan agama. Kemungkinan golongan sekular mahu menjadikan nisbahnya kepada ilmu dengan anggapan munculnya gerakan sekular adalah hasil kejayaan ilmu ( sains ) terhadap kekuasaan gereja . Ilmaniyyah ( sekularisme ) dari sudut istilah ialah ; ia disebut terhadap setiap perkara yang tiada hubungan dengan agama. Inilah takrifan di dalam pelbagai ensiklopedia dan kamus barat. Kamus Dewan terbitan DBP 1996 edisi ketiga mentakrifkan sekular sebagai berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan keagamaan . Manakala dalam Esiklopedia Britanicca disebutkan : ia adalah gerakan kemasyarakatan yang bermatlamatkan mengalihkan manusia daripada mementingkan akhirat kepada mementingkan kehidupan dunia sahaja. Ini disebabkan manusia pada zaman pertengahan mempunyai keinginan yang amat kuat untuk menolak dunia sepenuhnya dan bermeditasi sepenuhnya tentang Allah s.w.t dan hari akhirat. Untuk menentang kehendak ini, golongan sekular memperkenalkan dirinya melalui membangunkan perasaan kemanusiaan di mana manusia bermula daripada zaman pembangunannya mula menzahirkan pergantungan mereka yang tinggi terhadap kemajuan pemikiran manusia dan kemampuan mereka mewujudkan keinginan mereka di dalam kehidupan dunia ini. Aliran ke arah sekular ini terus meningkat sepanjang keseluruhan sejarah moden. Ia dianggap sebagai gerakan yang menentang agama dan menentang agama Kristian . Takrifan yang masyhur di dalam buku-buku Islam moden ialah ‘memisahkan agama daripada negara’. Sekiranya ia dikatakan sebagai :" Memisahkan agama daripada kehidupan" maka ia adalah lebih tepat. Oleh itu makna dan definisi sekular ( Ilmaniyyah ) ialah: " Mendirikan kehidupan bukan berdasarkan agama sama ia ada dalam sebuah negara ataupun bagi seseorang individu " .

3…SEJARAH…KEMUNCULAN

Sekularisme pertama kali muncul dalam kehidupan orang-orang Eropah kerana beberapa faktor. Di antara faktor-faktor itu ialah: a) Keputusan mereka terhadap ajaran agama Nasrani yang tidak kompleks sehingga ia tidak dapat menjawab cabaran zaman sesuai dengan perkembangan. b) Pemberontakan orang-orang Eropah terhadap sistem pemerintahan yang didominasi oleh golongan gereja. Golongan ini menggunakan dalil-dalil dan alasan-alasan keagamaan untuk kepentingan diri sendiri dan kekuasaan mereka . Dengan demikian rakyat merasa ditindas dan dizalimi oleh golongan gereja yang juga sebagai pemegang kekuasaan negara yang bertindak dengan sewenang-wenangnya . Dari sini pemimpin agama Kristian telah meletakkan ke atas diri mereka kuasa yang mutlak yang mereka angkatnya melebihi kuasa para pemimpin kerajaan. Mereka yang menentukan siapa yang bakal menaiki takhta dan berkuasa menurunkan mereka. Sebagai contoh, Raja Henry 4 yang diturunkan oleh Pope dari takhtanya yang menyebabkan baginda terpaksa bergegas ke gereja Vatican, sambil berdiri di muka pintu gereja dalam keadaan rambut yang kusut-masai beliau mengisytiharkan taubatnya, kemudian barulah Pope mempersilakannya masuk dan mengampunkannya. Seterusnya mengembalikan semula takhtanya. Di antara golongan gereja yang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri ialah Pope Innocent 3 (461-1261M). Beliau adalah seorang Pope yang menjadi raja agama dan raja negara sejak tahun 1198 hingga 1216M. Beliau mempunyai hak monopoli dalam mentafsirkan Bible dan mempunyai kekuasaan yang tidak terbatas. Beliau berkata " Tidak ada kelepasan bagi jiwa seseorang apabila tidak tunduk kepada Pope. Akulah raja bagi segala raja-raja dan Pope yang menguasai semua agama ". Di antara mereka juga ialah Lodewijk XIV yang memerintah Perancis menjelang mulanya revolusi Perancis. Di antara ucapan-ucapan yang menujukkan cara-cara pemerintahannnya ialah ucapannya yang termasyhur " Akulah negara, apa yang keluar dari mulutku itulah undang-undang ". Sejak itu timbullah keinginan yang padu dari bangsa Eropah untuk memisahkan agama dari negara. Sehingga jasa yang utama dari revolusi Perancis ialah memerdekakan manusia untuk menganut agama yang dikehendakinya dan memisahkan agama dari kekuasaan pemerintahan (negara). Campurtangan yang dilakukan oleh paderi dan Pope dalam hal ehwal pemerintahan telah menimbulkan kemarahan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan. Mereka mula mengingkari ketinggian kuasa mutlak Pope, sebaliknya menegaskan kuasa mutlak yang diwarisi dan tidak boleh ditukar ganti hanyalah milik kerajaan.

No comments:

Post a Comment