Monday, October 19, 2009

ISU- ISU POLITIK

IRAN BERSEDIA.

Jika kita meninjau akhbar-akhbar mengenai isu Timur Tengah, mahupun di peringkat global. Kita akan dapati terlalu banyak keadaan dibesar-besarkan oleh media tentang isu 2 buah negara gergasi, Amerika dan Iran. Amerika ingin menyerang Iran disebabkan projek nuklear yang cuba dibangunkan oleh negara pimpinan Presiden popular Iran, Mahmud Ahmadi Nejd. Kerana khabar angin mengenai projek nuklear Iran begitu meluas, maka Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerap didesak oleh Amerika untuk mengheret Iran ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Amerika berkali-kali menyifatkan pembangunan nuklear oleh negara Iran itu sebagai haram, ironisnya Israel yang juga memiliki sistem pengkayaan nuklear tidak pula dicop haram oleh Amerika.

Jika tindakan Amerika itu ibarat kerajaan yang berkuasa, Iran pula merupakan ketua pembangkang paling lantang di dunia. Maka, banyaklah persoalan-persoalan timbul berasaskan kesungguhan Bush untuk menyerang negara yang pernah menjadi salah satu wilayah kerajaan Khawarizmiyyah di era Daulah Abbasiyyah itu. Adakah Iran akan mengalami nasib yang sama seperti Iraq? Adakah Amerika berani menyerang Iran? Adakah Amerika mempunyai plan sulit agar Iran ditumbangkan? Atau Bush mendapat wahyu baharu agar Iran diserang untuk misi ketenteraannya? Bagaimanapun, politik Amerika yang begitu hangat dengan isu pemilihan Obama dan Mccain, yang dilihat sebagai tokoh yang bakal menyelesaikan masalah di Timur Tengah selepas ini.

Obama mungkin pilihan dunia kerana beliau berazam mahu membawa pulang tentera Amerika yang beroperasi di Iraq dalam tempoh 16 bulan jika beliau dilantik sebagai presiden. Sebaliknya Mccain dari parti Republikan terus menegaskan bahawa ingin mengekalkan operasi ketenteraan Amerika selama-lamanya di Iraq sehinggalah konflik di Timur tengah itu selesai. Boleh jadi Mccain ingin meneruskan misi Bush yang pernah diiktirafnya sendiri sebagai ‘misi suci’. Dahulu, Bush pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siri-siri serangannya di Iraq dan Afghanistan merupakan ‘misi suci’ yang meletakkannya seolah-olah mewakili ‘kuasa baik’ untuk menentang kuasa jahat.

“Serangan itu adalah misi suci untuk membawa keamanan Asia Barat, keselamatan untuk Israel dan sebuah Negara untuk penduduk Palestine”, kata Bush. [ Israel and The Arabs: Exclusive Peace ]

Setelah Iraq dan Afghanistan, Amerika mula menumpukan ekspedisi jajahannya ke Iran. Banyak faktor mengapa Amerika lebih menumpukan Iran berbanding dengan Korea Utara walaupun General Pyongyang jelas mengakui bahawa Korea bukan sahaja berusaha mengayakan uranium bahkan membangunkan senjata nuklear. Mengapa Iran? Ini bukanlah kali pertama Amerika melakukan serangan dengan tindakan-tindakan provokasi terhadap Iran. Sejak tahun 1998 lagi, Iran telah diancam dengan sekatan ekonomi atas alasan bahawa Negara tersebut cuba membangunkan program nuklear secara haram menurut Bill Clinton.

Rahsia-rahsia Amerika kemudiannya semakin menampakkan kudisnya, kita maklumi di Asia Barat mempunyai lebih banyak kepentingan Amerika berbanding dengan Asia Timur kerana kedudukan sumber minyak yang besar di Teluk Parsi. Inilah matlamat utama, mengapa Amerika mahupun Israel bersungguh-sungguh mahu mendapat keizinan masyarakat dunia agar mereka boleh menyerang Iran. Iran merupakan negara yang mempunyai rizab simpanan minyak dan gas yang terbesar di dunia. Namun, kemungkinan-kemungkinan lain pula akan timbul dalam politik dunia abad ini jika Iran diserang Amerika.
Kemungkinan-kemungkinan ini memaksa segala persoalan di kepala, untuk kita terus sangsi tentang kesungguhan Amerika ke atas Iran yang tentunya merugikan banyak aspek. Kita perhatikan analisis-analisis ini, agar kita mampu berfikir bahawa Amerika sama sekali tidak akan menyerang negara Ahmadi Nejd;

1) Amerika bukanlah terlalu jahil untuk membuka ruang konfrontasi dengan jarak yang terlalu lebar dengan Iran. Amerika tentu akan membersihkan Iraq dari tentera-tenteranya sehingga masalah yang timbul di sana, seolah-olah telah selesai pada anggapan orang ramai dan pemerhati-pemerhati politik dunia. Kerana itu akhbar baru-baru ini melaporkan Amerika melarang Israel untuk menyerang Iran, selagi mana tentera Amerika masih berada di Iraq. Amerika dilihat tidak berkeinginan untuk menyerang Iran disebabkan faktor-faktor kebuntuan ekonomi dan ketidakseimbangan politiknya, sekalipun kem tenteranya di Iraq berupaya menggusarkan Tehran.

Jika dahulu tentera Amerika hanya berada di negara-negara Teluk Parsi khususnya di Kuwait, Qatar dan Arab Saudi. Tetapi kali ini keseluruhan Iraq merupakan ruang bebas bagi tentera Amerika. Ini bermakna, Amerika mempunyai ruang bebas dan terbuka untuk menyerang Iran. Namun, tembelang politik Bush setelah Amerika berada di Iraq cukup merumitkan. Tempoh tentera Amerika di Iraq pula bergantung kepada siapa yang bakal menang pilihan raya Presiden pada Novembar ini. Sama ada presiden yang bakal menerajui politik Iraq itu pro-Israel atau tidak, Amerika telah lama sedar bahawa mereka tidak boleh melihat Iran negara politik yang lemah seperti Iraq untuk ditumbangkan.

2) Jika Amerika menyerang Iran, ia akan merapatkan lagi jurang yang berlaku antara Sunnah dan Syiah. Negara-negara Sunnah tentunya akan menyokong negara Syiah itu, jika mereka diserang Amerika. Kerana dalam peperangan ini Bush akan mewakili Barat, dan secara tidak langsung Ahmadi Nejd mewakili Islam. Perpecahan dua aliran antara Sunni dan Syiah tentunya menguntungkan Israel dan Amerika, sementara perpaduan kedua-dua aliran mazhab Islam ini menjadi impak yang sangat negatif kepada kelangsungan imperialisme Barat di negara-negara Islam.

Siri-siri perpecahan ini dibayangi tragedi di Iraq sebagai satu pertempuran antara Sunnah dan Syiah yang dahsyat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Amerika hanya goyang kaki manakala Sunnah dan Syiah terus bertengkar denga genjatan senjata sesama mereka. Setelah isu pergolakan yang berlaku di Iraq semakin jelas kerana terdapat pengkhianatan ‘orang ketiga’ dan masing-masing tahu kesan buruk yang berlaku terhadap umat Islam (apabila Sunnah dan Syiah di Iraq berkelahi). Ulama-ulama mereka sama ada dari aliran Sunni ataupun Syi’ie mula menegaskan perkara untuk bersatu.
Jika serangan dilakukan tentunya ia bukanlah masa terbaik malah memberikan kesan negatif kepada Amerika. Hal ini bertepatan dengan saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC) pada 11 Oktober 2003 ; “Ubat untuk negara Islam menghadapi tekanan dan kecaman dari Barat adalah penyatuan dalam kalangan umat Islam. Jika kebanyakan umat Islam yang sering bercakaran berjaya disatukan, tentu sekali kuasa Barat tidak mampu berbuat apa-apa”.

3) Amerika pernah melakukan percubaan militer terhadap Iran ini pada tahun 1980 M dengan tujuan melepaskan tawanan tentera Amerika di sana atas tuduhan menjadi perisik kepada Amerika. Bagaimanapun percubaan Amerika tidak berjaya, malah Amerika pernah mengalami kekalahan teruk di tangan Iran di dalam peristiwa yang berlaku di gurun Tabas. Badai dahsyat tiba-tiba menyerang helikopter milik Amerika sehingga menyebabkan ia saling berlanggar dan akhirnya terbakar. Peristiwa pelik itu menyebabkan ramai prajurit Amerika mati, sementara yang lain melarikan diri dan keluar meninggalkan wilayah Iran.

Peristiwa ini pernah diceritakan semula oleh al Marhum Sheikh Ahmed Deedat, pendakwah yang digeruni missonari Kristian dalam perdebatan umum. Sheikh Ahmad Deedat memberitahu peristiwa di Tabas ketika persidangan Kesatuan Sunni dan Syiah .

No comments:

Post a Comment